Saya tidak mahu kembiri/kasi/mandulkan kucing kerana:Pernyataan di atas adalah antara beberapa alasan kenapa kita tidak mahu memandulkan kucing. Semasa anda membaca catatan ini, terdapat beratus ribu atau mungkin juga jutaan anak kucing terbiar yang dibuang di pasar, kedai makan dan kawasan kediaman lain.
- Tidak adil kalau kita mandulkan kucing.
- Zalim/kejam kalau kita mandulkan kucing.
- Kita telah rampas haknya untuk membiak.
- Kucing tidak akan gembira kalau tak dapat lakukan hubungan seks.
- Berdosa jika kita melakukannya.
Mereka terdedah dengan berbagai penyakit seperti kurap, kudis, FLV dan sebagainya. Mereka mengiau pada orang yang lalu-lalang, meminta makanan. Mereka berebut sesama sendiri apabila ada orang mencampakkan lebihan makanan pada tanah.
Kita dapat melihat sebahagian besar kucing di situ berada dalam keadaan yang menyedihkan. Sebelah mata luka dan hampir buta, luka pada badan kerana bergaduh atau ditendang oleh manusia, kaki yang terhencot-hencot kerana dipijak, mulut yang melelehkan air liur kerana menghidap penyakit gusi dan berbagai lagi keadaan.
Kucing-kucing ini berada dalam keadaan sengsara, dan anak kucing yang baru dilahirkan pada saat ini juga akan mengalami nasib yang sama.
Katakanlah kita mempunyai seekor kucing betina. Dia mampu mengalami kitar galak setiap 2 minggu, dan pada masa ini dia akan mencari pasangannya walaupun dikurung di dalam rumah.
Jika tidak dimandulkan, kucing betina boleh beranak sehingga 3-5 kali setahun, dan akan melahirkan 4-5 ekor anak setiap kalinya.
Kita akan mempunyai sekurang-kurangnya 24 ekor kucing baru di rumah dalam masa 2 tahun.
Mampukah kita menjaganya? Setiap kucing yang ada masih perlu diberi makan, rawatan kesihatan, penjagaan najisnya dan kebersihan diri.
Setiap ekor kucing itu juga akan berak dan kencing setiap hari, bagaimana jika dia melepaskannya di rumah jiran anda?
Kucing jantan mesti, akan dan wajib memancutkan kencingnya untuk menanda kawasan , bagaimana pula jika dia menanda kawasan itu pada tayar kereta jiran, pasu bunga jiran dan kasut yang baru dibelinya?
Akhirnya samada jiran kita marah, atau kita sendiri sudah tidak mampu menjaganya maka kucing itu akan di bawa ke pasar (yang sudah ada beratus ekor kucing terbiar) dan dibuang di situ, supaya beban masalah itu berpindah ke bahu peniaga dan pelanggan di sana.
Atau membuangnya pula di kawasan taman perumahan lain. Ini semua adalah sama seperti anda membuang masalah anda ke pintu rumah orang lain.
Masalah ini tidak terhenti begitu sahaja. Kucing yang kita buang di pasar/kedai makan/kawasan perumahan lain itu tetap akan membiak sepertimana ia membiak di rumah kita. Dan masalah ini akan kembali ke tajuk episod 1 di atas.
Bezanya adalah, kini kita telah senaraikan diri kita sebagai penyumbang masalah.
Sekarang tanya pula diri sendiri, siapakah yang zalim/tidak adil/kejam/berdosa di sini?
Lihatlah dari sudut yang lebih luas. Masalah kejiranan bukan perkara yang boleh dibuat main-main.
0 Komen:
Catat Ulasan