Hukum Mandul Kucing

sumber:http://www.alamkucing.com/2009/05/hukum-memandulkan-kucing-dalam-islam.html

Islam adalah agama yang sempurna dan tidak ada suatu pun dalam kehidupan ini yang tidak disentuh oleh Islam. Begitu juga dengan hal memandulkan/kembiri/kasi kucing peliharaan. Fatwa dan hukum yang berkaitan telah lama ditetapkan oleh ulama seluruh dunia.


Saya bukan pakar dalam penentuan hukum agama, tetapi saya hanya mengguna pakai apa yang telah ditentukan oleh mereka.


Sudah tentu mereka telah merujuk kepada nas-nas yang jelas sebelum membuat keputusan mengenainya. Saya harap catatan ini akan dapat memberikan penjelasan bagi mereka yang masih ragu-ragu mengenainya.


Pertamanya, terdapat khilaf atau perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam hal binatang peliharaan. Jika ianya binatang ternakan, kebanyakan ulama berpendapat ianya adalah harus untuk mengkasikannya bertujuan untuk melembutkan dagingnya.


Bagi binatang peliharaan, ada yang menegah (atas sebab-sebab tertentu), namun ada juga yang membenarkannya, iaitu dari pendapat Imam Hanafi (juga atas sebab-sebab tertentu).


Maka kita boleh bertaklid kepada pendapat yang membenarkan perbuatan mengembiri kucing peliharaan, atas sebab menjaga hubungan baik dengan jiran serta kesihatan kucing, dengan syarat pembedahan itu tidak akan membahayakan nyawa kucing itu sendiri.


Pernyataan di atas adalah kesimpulan yang boleh diperoleh di IslamOnline.com, pada pautan itu juga anda boleh melihat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam pelbagai mazhab.

Therefore, we say that if there is some benefit in neutering the cat and if that will not cause its death, then it is permissible.
IslamOnline.com

Fatwa Jakim Mengenai Mengembirikan Binatang Peliharaan

Jakim telah pun mengeluarkan satu ketetapan pada tahun 2002, yang menyebut :
Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah.
FelineMalaysia.com

Tapi Masih Ada Yang Kata Haram?


Memanglah, kan telah diterangkan tadi bahawa ada pendapat yang mengharuskannya, dan ada juga yang mengharamkannya.

Jika ada terdengar ustaz yang berkata ianya adalah haram, maka fahamlah bahawa dia bertaklid kepada pendapat yang mengatakan ianya adalah haram.


Tetapi haram di sini bukanlah mutlak untuk semua orang, kerana terdapat khilaf di kalangan ulama. Ia bukanlah ijma' ulama atau sepakat di kalangan ulama.


Jika anda berpegang kepada pendapat yang mengatakan ianya haram, tidak mengapa. Tetapi anda tetap perlu menjaga hak jiran anda.


Jangan pula jika jiran anda bertanya kenapa tidak dimandulkan kucing jantan itu (kerana kucing anda kencing pada pasu bunganya), anda hanya pandai menjawab, "HARAM!".


Jika diminta oleh jiran, anda perlu membasuh kesan kencing itu sehingga hilang, kerana itu adalah haknya.


Dan percayalah, kucing jantan yang tidak dimandulkan, pasti akan memancut untuk menanda kawasannya.


Cumanya, dalam suasana di Malaysia ini anda lihatlah sendiri keupayaan kita untuk menjaga kucing masing-masing. Besar sangatkah rumah di Malaysia ini?


Kucing memerlukan sekurang-kurangnya 3 blok rumah sebagai sempadan minimum untuk kawasannya. Mana nak cari? Melainkan kawasan rumah anda sememangnya sangat luas dan sahih perlakuan kucing anda tidak akan mengganggu jiran.


Saya harap anda telah jelas dengan masalah ini. Di sana-sini masih ada lagi yang ragu-ragu untuk memandulkan kucing mereka.


Melainkan anda tinggal di kampung di mana rumah jiran terdekat berjarak 100 meter, dengan halaman yang luas, dan tidak ada kucing terbiar di situ, maka munasabahlah untuk anda ragu-ragu.


Tetapi jika anda tinggal di rumah teres, seperti kebanyakan kita, apatah lagi di pangsapuri, sudah cukup jelas bahawa hukumnya telah menjadi harus.


Anda tidak tinggal seorang diri di perumahan itu. Selang beberapa langkah sahaja sudah bertemu dengan rumah jiran. Beberapa tapak sahaja sudah ada kucing mengiau meminta makanan.

Sepertimana saya pernah sebut sebelum ini, masalah kejiranan bukan perkara yang boleh dibuat main-main.

Kesimpulan

Hukum mengembirikan binatang peliharaan ialah samada haram atau harus. Ia menjadi harus apabila cukup syaratnya.

Harus, bukan untuk memuaskan hati anda, tetapi untuk menjaga hubungan baik dengan jiran, kesihatan kucing serta manfaat lain, selagi mana pembedahan itu tidak membahayakan nyawa kucing itu.


Sekarang ini sudah banyak klinik kerajaan meletakkan notis fatwa Jakim mengenai pengembirian.


Jika pada peringkat ini pun masih was-was, anda boleh berhubung sendiri dengan Jakim atau majlis fatwa di negara masing-masing.


0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.